Taman Ilmu ‘terbengkalai’ sehingga kes mahkamah selesai - Utusan Malaysia

Taman Ilmu ‘terbengkalai’ sehingga kes mahkamah selesai

SATIFUL BAHRI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu tidak dapat memulihkan mahupun memberi nafas baharu kepada projek Taman Ilmu di Tembila, Besut selagi kes saman oleh kontraktor terlibat masih belum selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, buat masa ini pihaknya belum mempunyai apa-apa perancangan di tapak asal projek berkenaan susulan kes mahkamah yang dihadapi.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri berhasrat membangunkan Kolej al-Quran Terengganu (KQT) di Taman Ilmu, namun terbantut berikutan kos baik pulih yang tinggi mencecah RM400 juta.

“Selagi isu saman ini tidak selesai payah kita nak ambil alih, saya pun tidak pasti kerajaan negeri terdahulu buat bagaimana.

“Selepas semua kes mahkamah selesai, kita mungkin akan berbincang dengan pihak pelancongan misalnya untuk memanfaatkan bangunan sedia ada di Taman Ilmu,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Taman Ilmu yang diilhamkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh pada 2004 itu  membabitkan kawasan seluas 280 hektar menerusi peruntukan RM300 juta.

Ia disasarkan sebagai projek perkongsian kemudahan pendidikan asas yang mampu menampung perjalanan enam buah institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, projek itu terbengkalai sebelum diteruskan semula oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, namun nasib sama berulang apabila kerajaan negeri berdepan tuntutan saman daripada kontraktor terlibat.

Menurut Satiful Bahri, kes perbicaraan dijadualkan pada hari ini dan 4 April depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya