GEORGETOWN: Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) menyasarkan kira-kira 10,000 mahasiswa di seluruh negara untuk menjalani latihan industri di pelbagai syarikat menerusi agensi berkenaan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Matthew berkata, latihan industri merupakan pendedahan yang amat penting kepada mahasiswa kerana merupakan persediaan kepada mereka mengenai situasi sebenar di tempat kerja.
“Mana-mana syarikat yang memerlukan pelajar untuk menjalani latihan industri boleh memohon dengan TalentCorp dan kita akan menyediakan pelajar yang diperlukan oleh syarikat bagi menjalani latihan industri berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pejabat TalentCorp di Bayan Baru, di sini hari ini.
Menurutnya, mahasiswa perlu bersiap sedia supaya dapat menyesuaikan diri dengan pasaran kerja pada masa ini.
“Disebabkan itu mereka perlu mendapatkan latihan industri yang sesuai dan TalentCorp sedia membantu mereka,” katanya.
Dalam pada itu Thomas berkata, TalentCorp melebarkan operasinya di Pulau Pinang menerusi pembukaan pejabat operasi yang baharu hari ini sebagai langkah memperkukuh kedudukannya di kawasan utara.
“Kami sangat teruja untuk memberi perkhidmatan kepada sektor swasta mahupun awam untuk menarik, memupuk dan mengekalkan bakat yang terbaik serta menepati keperluan industri.
“Selain beroperasi di Pulau Pinang, kami juga dapat melebarkan sayap di Kedah, Perlis dan Perak selepas ini dalam usaha mencari bakat-bakat baharu pekerja di kawasan utara,” katanya.
Tambahnya, pejabat baharu TalentCorp dan MYXpats di Bayan Baru akan berperanan sebagai penghubung kolaborasi dengan majikan untuk program-program berkaitan dengan pencarian bakat-bakat baharu pekerja.
“Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangka mencapai pertumbuhan KDNK serantau sebanyak 6.5 peratus pada 2022 yang mampu mewujudkan 30,573 peluang kerja baharu untuk rakyat.
“Hasil pertumbuhan ini, TalentCorp berhasrat mengukuhkan kedudukannya di utara dengan menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang memerlukan maklumat dan bantuan mengenai inisiatif yang kami ada sehingga mereka berjaya,” katanya. – UTUSAN










