Tak sempat bawa stok mercun ke Johor - Utusan Malaysia

Tak sempat bawa stok mercun ke Johor

SHAFIEN Mamat menunjukkan antara mercun yang dirampas polis selepas menahan sebuah lori di Jalan Batu Jong, Kuala Krai, Ahad lalu. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Tiga lelaki tidak sempat membawa 97 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM45,000 ke Johor apabila lori dinaiki mereka ditahan polis di Jalan Batu Jong, di sini Ahad lalu.

Lori lima tan jenis Nissan dipandu suspek berusia 24 tahun bersama kelindan lori serta seorang lagi rakan mereka masing-masing berusia 57 dan 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemeriksaan lanjut pada bahagian muatan lori menemukan 97 kotak mengandungi 7,760 kotak kecil berisi pelbagai jenis mercun bernilai RM45,000.

Menurutnya ketiga-tiga supek mendakwa mereka tidak mengetahui kandungan muatan yang hendak dibawa ke Johor selepas mengambilnya di Kota Bharu.

“Pemandu lori yang berasal dari Kota Masai, Johor memaklumkan kesemua barangan dipunggah pihak lain dan tugas mereka hanya membawa kotak-kotak berkenaan dari Kelantan ke Johor.

“Ketiga-tiga suspek memberi kerjasama baik selain memaklumkan mereka sekadar melakukan perkhidmatan penghantaran barang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Shafien memberitahu, pemandu lori mendakwa menerima bayaran upah sebanyak RM1,600 untuk membawa barangan itu dan siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek tiada rekod jenayah lampau.

“Kes ini merupakan rampasan pertama melibatkan mercun. Kita faham situasi ketika ini yang semakin hampir dengan bulan Ramadan dan Syawal. Sebab itu kegiatan penyeludupan mercun berlaku,” katanya.

Menurut Shafien, ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari bermula Ahad lalu sehingga esok bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN