KUALA LANGAT: Penahanan terhadap dua lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai tekong darat membawa kepada tangkapan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Morib, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden Rizal Mohamed berkata, kesemua pendatang asing berusia antara 23 hingga 55 tahun terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita dikesan bersembunyi dalam semak berhampiran tekong mereka ditahan di Jalan Banting-Sepang.
“Pada pukul 12.30 tengah hari, sepasukan polis bersama Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) ketika membuat rondaan dan pemantauan di kawasan Morib menahan dua lelaki dewasa berusia 28 dan 38 tahun bersama dua buah kenderaan.
“Hasil siasatan lanjut, mereka mengaku bertindak sebagai tekong darat yang membawa PATI. Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pasukan polis menemukan dan menahan warga asing dan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, PATI berkenaan dikenal pasti masuk ke negara ini menggunakan bot dan polis turut merampas dua kenderaan, dua telefon bimbit dengan nilai rampasan berjumlah RM44,100.
Kata Rizal, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut dan mereka disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.
“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan petugas PDRM.
“Masyarakat diseru memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya. – UTUSAN