KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap dapat melihat Kelantan menjadi lima kontinjen terbaik ketika negeri ini menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 2026.
Bagi mencapai matlamat itu titah baginda, kerajaan negeri perlu membuat persiapan awal dengan mengenal pasti bakat-bakat baharu untuk diserapkan ke dalam program latihan atlet berprestasi tinggi.
“Kerjasama strategik serta perkongsian pintar juga perlu diadakan dengan agensi dan organisasi mahir seperti Institut Sukan Negara Malaysia bagi tujuan pembangunan atlet,” titah baginda.
Titah Ucapan Diraja baginda dibacakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini hari ini.
Sultan Muhammad V turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembinaan infrastruktur dan kemudahan sukan untuk penganjuran Sukma 2026. – UTUSAN