KUANTAN: Tiada ungkapan mampu dilafazkan oleh sepasang suami isteri tatkala menerima Anugerah Anumerta Allahyarham anaknya pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15, di Dewan Jubli Perak di sini.
Allahyarham Muhammad Amirul Muizz Taha Sulaiman, 24, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua tahun lalu sewaktu dalam perjalanan menuju ke Bukit Goh untuk menjalani latihan industri.
Allahyarham yang merupakan bekas penuntut UMP di Fakulti Pengurusan Industri adalah pelajar tahun akhir dan bakal menamatkan pengajian selepas menjalani latihan industri.
Menurut ibu Allahyarham, Pazilah Haron, 54, masih segar dalam ingatan pada waktu itu, perjalanan dari Bera ke Kuantan untuk mengiringi anak ke rumah sewa bagi memulakan sesi latihan industri di sebuah industri di Bukit Goh.
“Seperti kebiasaan, apabila arwah pulang ke kampus dengan menaiki motosikal, saya dan suami akan mengekorinya sehingga ke Kuantan.
“Rupanya pada waktu itu, adalah saat akhir kami dapat bersamanya, siapa sangka tidak sampai 15 minit lagi untuk sampai ke rumah sewanya di Kuantan, Allahyarham Amirul Muiz terlibat kemalangan. Lebih menyayat hati kejadian itu disaksikan di depan mata kami sendiri,” katanya sebak.
Pazilah berkata, masih terngiang diingatannya, Allahyarham anaknya berhasrat memakai pakaian segak ketika di hari konvokesyennya dan bergambar di sekitar UMP Pekan dan Gambang.
Sementara itu, bapa Muhammad Amirul Muizz, Taha Sulaiman Mohd. Shariff, 54, berkata, semuanya kini hanya tinggal kenangan dan dia berterima kasih kepada. UMP atas penganugerahan itu.
Taha Sulaiman yang hadir bersama Pazilah menerima Anugerah Anumerta yang disampaikan oleh Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di dalam kamar dewan.
“Harapan saya supaya anak bongsu kami, Muhammad Adam Mukhriz, 19, yang kini menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) di Pekan supaya mengikuti jejak langkah Allahyarham abangnya yang menyambung pengajian di UMP.
“Sejak Allahyarham meninggal dunia, pihak UMP sering menghubungi kami dan menguruskan segala keperluan yang berkaitan akademik termasuklah bersetuju untuk menamatkan pengajian beliau dengan mengurniakan ijazah ini.
“Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan kami sekeluarga kerana hasrat Allahyarham untuk membahagiakan kami akhirnya tercapai,” katanya.
Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Rosli Hainin. – UTUSAN










