REMBAU: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 5.6, Jalan Pedas Kundur-Linggi, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, A. Munisamy, 70, dan isterinya, L. Annapurni, 65, yang beralamat di Taman Koperasi, Pedas meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa dan sebuah kereta jenis Kia Rio yang dipandu oleh seorang wanita berusia 36 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Pedas menghala ke Kundur. Sampai di tempat kejadian, mangsa bertembung dengan kereta jenis Kia Rio yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan, pasangan suami isteri berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazri berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau dan akan dibedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










