Sistem penjagaan kesihatan negara perlu model pembiayaan baharu 

Sistem penjagaan kesihatan negara perlu model pembiayaan baharu 

KHAIRY Jamaluddin dalam sidang akhbar di KLCC hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem penjagaan kesihatan negara memerlukan pembaharuan termasuk model pembiayaan semasa atau ia menjadi tidak mampan dalam masa terdekat. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan yang mencukupi untuk kementerian itu melalui belanjawan negara adalah penting bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang situasi sukar dijangka. 

Katanya, Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi sederhana telah melabur kurang daripada jumlah yang optimum setiap tahun, bagaimanapun, terdapat kekurangan pelaburan kronik terhadap sistem penjagaan kesihatan awam negara ini. 

Justeru, katanya, kerajaan sedang mengusahakan Kertas Putih Pembaharuan Penjagaan Kesihatan bagi menyediakan peluang untuk semua pihak supaya lebih bersedia menghadapi sebarang krisis dan kecemasan pada masa akan datang. 

“Pada tahun 2020, negara telah membelanjakan sebanyak RM67 bilion iaitu hanya 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan dalam pecahan ini, antara perbelanjaan awam dan swasta ialah 54.6 peratus dan 45.4 peratus. 

“Justeru, perbelanjaan kesihatan awam negara adalah rendah, iaitu 2.58 peratus daripada KDNK pada tahun 2020. Maka, kita perlu menanda aras diri kita kepada negara berpendapatan sederhana tinggi yang lain yang menyaksikan perbelanjaan kesihatan awam adalah sekurang-kurangnya empat peratus,” katanya hari ini. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran buku Systems Thinking: Systems Thinking Analyses For Health Policy And Systems Development, A Malaysian Kes Study di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Beliau berkata, pembaharuan dalam sistem kesihatan negara tidak seharusnya tertumpu kepada agihan yang cukup dan saksama, namun, ia harus melibatkan melihat semula struktur pembiayaan semasa. 

Justeru, kata Khairy, antara cabaran mendesak dihadapi hari ini akibat kekurangan dana dan pelaburan adalah penyampaian penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi. 

“Contohnya, sistem semasa hari ini kurang kesedaran dalam penjagaan pencegahan dan lebih memfokuskan penjagaan kuratif. Selain itu, cabaran lain disebabkan peningkatan kos penjagaan kesihatan yang akan meletakkan Malaysia dalam keadaan kurang memberangsangkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN