Sistem e-Mualaf akan diperluaskan di seluruh negara - Utusan Malaysia

Sistem e-Mualaf akan diperluaskan di seluruh negara

HAKIMAH Mohd. Yusoff beramah mesra bersama guru mualaf selepas majlis perasmian simposium guru mualaf di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal memperluaskan lagi sistem e-Mualaf ke seluruh negara bagi menyelaraskan data golongan itu secara lebih sistematik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, sistem yang dibangunkan sejak 2013 itu ketika ini hanya membabitkan enam negeri dan kesemua tiga Wilayah Persekutuan.

“Insya-Allah, pihak Jakim sedang berunding dengan baki tujuh negeri lagi kerana keperluan pangkalan data khas sebegini perlu diselaraskan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary merasmikan Simposium Guru Mualaf 2022, di sini hari ini dengan disertai  130 guru terbabit dari seluruh negara dengan dua pembentangan kertas kerja dan dua sesi forum.

Sistem e-Mualaf 1.0 diwujudkan hampir 10 tahun lalu sebagai pangkalan data raya berpusat maklumat saudara baharu termasuk isu pembelajaran, kebajikan dan pengurusan jagaan.

Ia kemudian ditingkatkan kepada versi 2.0 dengan tambahan fungsi cetakan kad mualaf yang lengkap kod QR bagi memudahkan semakan pengesahan diri jika berlaku isu kecemasan.

Pautan laman

 Setakat ini, sistem itu cuma melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan serta Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi pautan laman rasmi Jakim.

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengumpulan data individu memeluk Islam bukan di pejabat agama.

“Ada masuk Islam di luar negara atau pertubuhan bukan kerajaan, maka rekod pun tiada di jabatan agama Islam negeri sehingga timbul isu tuntutan jenazah apabila meninggal dunia,” katanya.

 Justeru, menurut beliau,   untuk elak berlaku perebutan sedemikian, sistem e-Mualaf perlulah ditambah baik meliputi semua negeri agar ada koordinasi maklumat golongan tersebut secara terperinci.

 Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik bilakah sistem itu diperluaskan tetapi memberi bayangan ia boleh dilaksanakan menjelang akhir tahun ini jika tiada masalah besar.

 Ini jelasnya, termasuk aspek bantuan kepada mualaf yang berkelayakan oleh agensi agihan zakat di semua negeri dan juga badan kerajaan lain seperti pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 Langkah itu kata Hakimah, perlu kerana berdasarkan pengalaman, ramai mualaf jatuh miskin akibat disisihkan keluarga tanpa ada sumber kewangan bagi membina balik kehidupan baharu.

 Dianggarkan setiap tahun hampir 9,000 orang menjadi mualaf di seluruh Malaysia dengan kebanyakan ialah kaum Cina, manakala Sabah paling ramai merekodkan jumlah saudara baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya