Sindiket lombong bitcoin haram licik, banyak helah

Sindiket lombong bitcoin haram licik, banyak helah

ANTARA peralatan mencuri arus elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin haram yang dirampas polis. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket perlombongan bitcoin semakin licik apabila mencari pelbagai helah bagi mengaburi mata pihak berkuasa supaya kegiatan dilakukan mereka tidak dikesan.

Antara helah adalah menggunakan data dan maklumat kad pengenalan orang lain untuk mendaftar meter elektrik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melakukan aktiviti melombong bitcoin.

Tidak cukup dengan itu, ada sebahagian sindiket sanggup ‘tinggal’ di kawasan-kawasan perindustrian yang terpencil untuk mencuri bekalan elektrik bagi memastikan mesin ‘perlombongan digital’ dapat beroperasi 24 jam tanpa menanggung beban kos membayar bil.

Berkongsi dengan Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kegiatan sindiket-sindiket itu menyebabkan syarikat pembekal tenaga menanggung kerugian berjumlah jutaan ringgit setiap tahun.

Kata beliau, perkara itu dapat dilihat apabila sebanyak 799 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak 2020 sehingga Februari lalu dengan nilai rampasan RM69.8 juta.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, kertas siasatan tertinggi dibuka adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 570 kes dengan nilai rampasan RM54.5 juta.

“Pada 2020, sebanyak 20 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM1.29 juta namun kes kecurian elektrik bagi aktiviti melombong bitcoin ini meningkat ketara tahun lalu.

“Bagi dua bulan pertama ini, meskipun penguatkuasaan digiatkan namun aktiviti kecurian bekalan elektrik ini masih dikesan berlaku apabila sebanyak 209 kertas siasatan dibuka membabitkan nilai rampasan RM15.7 juta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Tidak berdiam diri, Abd. Jalil menegaskan, dalam tempoh itu juga, sebanyak 879 serbuan dilakukan PDRM di premis-premis perniagaan yang diubah suai oleh sindiket untuk melombong bitcoin di seluruh negara.

Kata beliau, dalam tempoh itu juga, sebanyak 627 individu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379, Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Selain, tindakan juga diambil mengikut Seksyen 37 (1) dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Menerusi serbuan yang dijalankan itu, sebanyak 54,474 buah mesin bitcoin dirampas.

“Ingin ditegaskan di sini, operasi menyeluruh di semua peringkat kontinjen telah dilancarkan secara besar-besaran oleh pihak polis bagi membendung kegiatan ini daripada berleluasa.

“Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya mereka didapati terlibat dalam kecurian arus eletrik ini kerana perkara ini akan menyebabkan bahaya kepada orang awam,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya