Sindiket ah long ugut cedera mangsa ditumpas - Utusan Malaysia

Sindiket ah long ugut cedera mangsa ditumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat lelaki dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen ah long  ditahan polis dalam serbuan di Bukit Jalil dekat sini semalam.

Kesemua lelaki berusia 18 hingga 25 tahun ditahan pada pukul 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut mula beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur

Menurut beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan sindiket berkenaan pada 18 Mac lalu. 

“Pengadu  seorang kakitangan kerajaan telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM2,000 secara dalam talian. 

“Setelah pinjaman diberikan, pengadu tidak mampu untuk membuat bayaran balik disebabkan kadar bunga pinjaman yang tinggi. 

“Akibatnya, keluarga pengadu telah diugut akan dicederakan melalui beberapa panggilan sekiranya gagal membayar hutang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Mahidisham berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 13 unit telefon bimbit dan sembilan keping kad bank yang digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket  ah long tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Mahidisham berkata, kesemua ahli sindiket  ah long itu bekerja dengan tawaran gaji sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebulan. 

Katanya, kesemua tangkapan direman sehingga 31 Mac untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN