Sidang DUN Perak dipendekkan tiga hari - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak dipendekkan tiga hari

MOHAMMAD Zahir Abdul Khalid (dua dari kanan) menunjukkan keadaan dalam Dewan Perak bersama media menjelang sidang DUN pada Isnin ini di Ipoh. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang Ke-14 dipendekkan kepada tiga hari pada 28 hingga 30 Mac ini meskipun terdapat pelbagai agenda yang perlu diusul dan dibincangkan.

Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ia ekoran negara masih berada dalam fasa pandemik selain nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Bagaimanapun Mohammad Zahir berkata, agenda yang tidak dapat dibincangkan akan dibawa pada sidang berikutnya selepas negara berada dalam fasa endemik kerana hari persidangan akan dipanjangkan.

“Asalnya kita nak buat panjang, tapi disebabkan masih dalam pandemik serta kita dapat nasihat daripada MKN dan Kementerian Kesihatan, kita putuskan untuk buat tiga hari sahaja. Walaupun banyak sebenarnya agenda yang hendak dibawa, undang-undang lain yang nak dibawa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya jika ada sebarang usul tergempar pada sidang kali ini, beliau menjawab tiada selain memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah menerima vaksin dan dos penggalak.

Menurut Mohammad Zahir, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual menyempurnakan istiadat pembukaan sidang itu yang akan berlangsung pada pukul 10 pagi, 28 Mac tanpa acara perbarisan.

Katanya, baginda dijadual berkenan menzahirkan titah diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi, Tahun Kelima, DUN Perak yang ke-14.

“Usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad pada 29 Mac (hari kedua). Seramai 20 orang ADUN akan diberi peluang berbahas berkaitan usul berkenaan di mana sembilan daripadanya adalah ADUN dan penyokong kerajaan, 10 ADUN termasuk Ketua Pembangkang dan seorang ADUN Bebas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN