PADANG BESAR: Agensi keselamatan sempadan bersedia untuk menerima kemasukan pengembara atau pelancong Thailand menjelang pembukaan sempadan di Pos Imigresen Wang Kelian di sini, 1 April ini.
Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, pelbagai persediaan telah dilakukan oleh beberapa agensi terlibat di kawasan tersebut.
Katanya, pembukaan sempadan negara pada 1 April dilakukan dengan berhati-hati selepas mengambil kira pelbagai aspek seperti kesihatan, keselamatan dan sebagainya.
“Buat masa ini, kira-kira 30 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguruskan kemasukan pengembara dari Thailand di pos berkenaan.
“Bagaimanapun jumlah tersebut bergantung kepada situasi dan jika terlalu ramai kemasukan dari negara jiran, bilangan petugas mungkin ditambah,” katanya ketika ditemui di Pos Imigresen Wang Kelian hari ini.
Beliau hadir meninjau persiapan pembukaan sempadan dan kesiapsiagaan kawalan sempadan yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama tentera Thailand di pintu masuk kedua-dua negara.
Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta beberapa agensi berkaitan yang meninjau persiapan akhir pembukaan sempadan darat itu.
Tambah Ruzaini, pada masa ini, rakyat Malaysia masih belum mendapat kebenaran melintasi sempadan negara melalui Pos Imigresen Wang Kelian untuk ke Thailand.
“Sekiranya mana-mana individu yang ingin pergi ke Thailand, mereka boleh memasuki negara itu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Bagi pengembara dari Thailand pula, mereka perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mengambil suhu, maklumat pengembara dan sebagainya,” jelasnya.
Selain itu katanya, penduduk negara ini juga perlu patuh SOP Thailand yang ketat termasuk perlu menginap di negara itu minimum lima hari.
Dalam perkembangan sama, Ruzaini yakin pembukaan sempadan memberikan kesan positif kepada Perlis daripada sudut ekonomi dan pelancongan. – UTUSAN










