SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan semua jabatan, agensi kerajaan dan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyertai kempen Earth Hour pada Sabtu ini.
Selain itu, semua bangunan lain sama ada seliaan kerajaan negeri atau PBT digalakkan menyertai kempen berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pihaknya sentiasa komited mengekalkan kelestarian alam sekitar terutama dalam mengurangkan impak perubahan iklim di negeri ini.
Katanya, kempen Earth Hour akan dilaksanakan selama sejam bermula 8.30 hingga 9.30 malam dengan mematikan lampu elektrik di bangunan pejabat, premis perniagaan dan kediaman.
“Demi keselamatan orang awam dan pengguna bangunan, hanya lampu perhiasan atau tidak digunakan dan alat elektronik yang perlu dipadamkan dan bukan blackout sepenuhnya. Lampu keselamatan perlu dipasangkan mengikut keperluan bangunan masing-masing bagi memastikan keselamatan awam terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Loy Sian, kerajaan negeri berhasrat menjadikan kempen itu sebagai acara tahunan bagi memupuk kesedaran rakyat mengenai perubahan iklim dan alam sekitar.
“Manfaat yang diperoleh antaranya menggalakkan masyarakat memikirkan semula tindakan dan cara mereka menyumbang kepada pemuliharaan sumber bumi. Selain itu, ia memberhentikan kadar penurunan kualiti alam sekitar dan mengurangkan pembebasan karbon daripada sektor pembekalan elektrik menjelang 2030,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri mengarahkan semua jabatan, agensi kerajaan dan PBT menyertai kempen berkenaan.
“Kita turut mengalukan penyertaan sektor swasta dan organisasi lain seperti kilang, premis perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan parti politik negeri. Kempen Earth Hour itu diharap dapat diaplikasikan semua pihak dalam mewujudkan dunia yang lebih mampan dan memberi impak positif kepada perubahan iklim negara,” katanya. – UTUSAN