Selepas 7 tahun, penantian 558 pembeli kediaman Aspire Residence berakhir - Utusan Malaysia

Selepas 7 tahun, penantian 558 pembeli kediaman Aspire Residence berakhir

REEZAL Merican Naina Merican berbual bersama pembeli ketika mengadakan sesi lawatan berhubung kelewatan projek pembinaan rumah Aspire Residence di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Selepas tujuh tahun menanti, seramai 558 pembeli Pangsapuri Aspire Residence, di sini menemukan sinar apabila dijanjikan boleh mendiami kediaman sendiri pada tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika menyampaikan khabar gembira itu berkata, kerja-kerja penyambungan pembinaan projek kediaman Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) itu akan bermula tahun bulan depan dan memakan masa 16 bulan sehingga Julai 2023.

Beliau berkata, projek perumahan pangsapuri yang mempunyai 1,168 unit itu mula dibangunkan pada 2016, namun mengalami kelewatan dan dikategorikan sebagai projek sakit di dalam War Room Perumahan kementerian.

“Projek ini tergendala sejak 2019, kontraktor yang dilantik, Sterling Prima Sdn. Bhd. mengalami masalah aliran tunai sehingga mengganggu kerja-kerja pembinaan di tapak.

“Setelah perbincangan dan rundingan di antara SPNB dan Sterling Prima Sdn. Bhd. diadakan, kedua-dua pihak bersetuju supaya langkah penamatan bersama diambil bagi membolehkan pembinaan projek ini diteruskan dengan SPNB melantik kontraktor baharu dalam masa terdekat untuk menyiapkan Fasa 1 dalam tempoh 16 bulan,” katanya ketika mengadakan lawatan turun padang ke tapak projek itu, di sini hari ini.

Reezal berkata, kementerian mengambil berat keresahan pembeli serta mengadakan pertemuan dengan wakil pembeli pada 22 Februari lalu.

Katanya, usaha mendapatkan penjadualan semula bayaran atau moratorium bagi pembeli yang meminjam dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Adam (LPPSA) turut dilaksanakan termasuk bagi semua projek dikategorikan sebagai sakit di bawah seliaan kementerian seperti Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM), Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan SPNB.

“SPNB juga akan memastikan setiap hak pembeli terjamin sepenuhnya tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani termasuk urusan pembayaran Denda Serah lewat (LAD) seperti termaktub dalam perjanjian jual beli bagi menampung sebarang kerugian pembeli,” katanya.

Beliau berkata, usaha penyelesaian itu adalah hasil daripada kerjasama Kementerian Kewangan terhadap kementerian ini untuk merawat keresahan pembeli bagi memastikan projek kediaman SPNB Aspire Residence berjaya diserahkan kepada pembeli.

Sementara itu, salah seorang pembeli rumah terbabit, Siti Mariam Jusof, 37, menganggap pengumuman menteri adalah khabar gembira buat semua pembeli projek perumahan berkenaan.

“Tindakan luar biasa dari menteri yang sungguh prihatin menyelesaikan masalah ini dan kami semua mengharapkan agar segalanya berjalan mengikut perancangan,” katanya.

Pangsapuri berkenaan dijangka siap serta boleh didiami pada Ogos tahun lalu mengikut blok, namun ia menjadi igauan buruk buat pembeli apabila projek berkenaan masih gagal disiapkan sehingga hari ini.

Berdasarkan perancangan asal, projek pembinaan perumahan pangsapuri tiga blok itu dijangka siap mengikut blok iaitu Blok 1 siap sepenuhnya pada 23 Ogos 2020, Blok 2 (11 Mac 2021) dan Blok 3 (31 Januari 2022). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya