MELAKA: Sebuah keluarga dari Bukit Senjuang di sini sanggup berbelanja RM600 setiap bulan sejak empat tahun lalu bagi membeli pisang untuk diberikan kepada 50 ekor monyet liar yang datang ke kediaman mereka.
Menurut S. Saratha, 40, rutin itu dilakukannya sejak berpindah ke situ pada 2018, selepas tiba-tiba didatangi 10 ekor monyet di sekitar rumahnya.
Katanya, dia dan suami, P. Senthil Kumar, 44, serta tiga orang anaknya menyifatkan situasi itu sebagai petanda baik kerana percaya haiwan tersebut merupakan salah satu identiti tuhan dalam agama Hindu iaitu Hanuman.
“Ketika kami baru berpindah, tiba-tiba ada 10 ekor monyet datang ke rumah seolah-olah merahmati kedatangan kami sekeluarga ke kawasan itu.
“Sejak dari itu, suami akan membeli pisang RM20 sehari untuk beri monyet-monyet itu makan sehingga jumlah mereka bertambah kepada kira-kira 50 ekor setiap hari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, mereka hanya memberikan pisang susu dan pisang emas kepada kelompok haiwan liar berkenaan.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, suaminya akan ke pasar di Banda Hilir empat kali seminggu bagi membeli bekalan pisang.
“Kami tidak pernah dicederakan monyet tersebut, malah, saya menganggapnya sebagai anak-anak sendiri.
“Kalau tidak ada pisang, saya akan hidangkan mereka nasi beralaskan daun pisang yang juga merupakan makanan kegemaran mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood ketika dihubungi berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menggalakkan perbuatan tersebut.
“Tindakan itu boleh menyebabkan perubahan tingkah laku monyet atau kera ini yang akan bergantung kepada manusia untuk mendapatkan makanan.
“Selain itu, kita melihat kepada kandungan makanan manusia yang mengandungi banyak gula, sekali gus boleh menambah dan menggalakkan kadar pembiakan monyet berbanding sumber asli seperti buah-buahan hutan dan pucuk pokok muda,” katanya.










