Saksi risau keselamatan terjejas ekoran pendedahan kepada SPRM - Utusan Malaysia

Saksi risau keselamatan terjejas ekoran pendedahan kepada SPRM

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan pernah meluahkan kebimbangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keselamatannya ekoran pendedahan beliau ketika siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bagaimanapun menolak tawaran SPRM untuk dilindungi oleh pihak berkuasa sebagai saksi kerajaan walaupun risaukan keselamatannya.

Mendiang antara lain mendedahkan pernah berjanji untuk memberikan beberapa unit kediaman kepada Guan Eng sebagai balasan jika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu membantu syarikatnya, EZSB meneroka tanah-tanah kerajaan yang telah ditambak untuk membangunkan projek perumahan.

Guan Eng kemudian memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melantik sebuah syarikat kontraktor melaksanakan projek terowong yang mana cara pembayaran dibuat melalui pertukaran tanah dan mencadangkan beliau berurusan dengan syarikat tersebut supaya tanah kerajaan dijual kepadanya (Swee Kheng).

Butiran tersebut dimaklumkan kepada pegawai perakam SPRM, Penolong Penguasa Muhammad Nazree Mansor, 32, sewaktu mendiang membuat penambahan dalam rakaman percakapan yang diberikan berhubung siasatan tersebut.

Ketika membacakan rakaman percakapan itu di mahkamah, Mohd. Nazree menyatakan, mendiang menyifatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai individu yang ‘tidak boleh disentuh’ (untouchable).

Jelasnya, mendiang memaklumkan, ketika pihak SPRM memulakan siasatan kes terowong, negara ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) manakala Guan Eng terlepas daripada kes mahkamah berkaitan skandal banglo.

“Sekiranya terdapat pihak yang mengetahui saya membuat pendedahan ini, dibimbangi ianya akan memberikan implikasi buruk kepada saya. Selepas itu saya ada mendengar banyak berita bahawa YB LGE (Guan Eng) juga ada menerima wang daripada syarikat kontraktor. Saya rasa harus ceritakan perkara yang sebenar.

“Oleh kerana terlalu banyak yang saya rahsiakan, saya fikir akan sampai masa perkara ini akan terbongkar dan menjejaskan perniagaan saya,” menurut rakaman percakapan itu.

Mendiang bagaimanapun menyatakan tidak pernah menerima gangguan daripada mana-mana pihak ketika siasatan SPRM dan memberi jaminan akan mengambil langkah berjaga-jaga.

Swee Kheng, 53, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, bagaimanapun ditemukan maut selepas terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang.

Mendiang meninggal dunia pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober 2021 selepas ditemukan di bahagian bawah kondominiumnya manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat tinggi.

Pada 16 Disember 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan mendiang diterima masuk dan ditandakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah Guan Eng.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya