PUTRAJAYA: Meskipun jadual padat di Qatar, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah masih meluangkan masa bertemu dengan pasukan robotik perempuan Afghanistan.
Menurut hantaran menerusi laman sosial beliau, kumpulan sembilan pelajar pintar itu berjaya melarikan diri selepas negara tersebut ditawan semula kumpulan Taliban pada 15 Ogos 2021.
“Saya kagum pencapaian mereka yang agak luar biasa sejak ditubuhkan pada 2017 yang telah menarik perhatian antarabangsa,” nukilnya dengan rakaman video berdurasi selama 44 saat.
Kumpulan yang dikenali sebagai Afghan Dreamers itu berasal dari kota Herat di barat Afghanistan dengan anggota terdiri berusia 15 sehingga 19 tahun dan seorang guru berumur 25 tahun.
Mereka mencipta nama apabila meraih pingat perak pertandingan robotik yang bertaraf antarabangsa di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) pada 2017 lalu dengan disertai 158 negara.
Pasukan elit itu mendapat tumpuan kerana asalnya disekat masuk ke AS ekoran isu visa sebelum Presiden Donald Trump campur tangan eksekutif saat-saat akhir atas alasan kemanusiaan.
Remaja ini dibawa keluar dari Afghanistan tahun lalu menerusi pesawat khas kerajaan Qatar dan menerima biasiswa penuh yayasan milik negara tersebut untuk meneruskan pengajian tinggi.
Kumpulan tersebut kemudian ditempatkan atas ihsan kerajaan Qatar di Doha Education City yang mengandungi sejumlah sekolah antarabangsa dan kampus cawangan universiti terbaik dunia.
Mengulas lanjut, Saifuddin memuji kehebatan Afghan Dreamers kerana mampu membangunkan ventilator hanya dengan mengubah suai bahagian daripada kereta terpakai pada tahun lepas.
“Ini untuk kegunaan para pesakit ketika wabak Covid-19 serta jelas menunjukkan daya kreativiti dan kemahiran teknikal mereka di sebalik hidup di Afghanistan serba kekurangan,” tambahnya.
Pencapaian kumpulan ini membuktikan mereka sebagai simbol pemodenan Afghanistan yang diharap akan dapat menekankan kepentingan akses sama rata kepada pendidikan wanita muda.
Beliau dengan nada optimis berkata, pemerkasaan hak wanita dan penyertaan gender itu dalam pembangunan ekonomi Afghanistan sewajarnya diberi perhatian serius oleh pihak pemerintah.
Walaupun tidak dinyatakan spesifik, Saifuddin secara diplomasi cuba merujuk situasi terkini di negara itu apabila Taliban bertindak mula menyekat pembukaan sekolah untuk murid perempuan.
Beliau ketika ini masih berada di Qatar mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang julung kali melakukan lawatan rasmi ke negara Asia Barat tersebut sejak kelmarin. – UTUSAN