KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka tidak akan dibentangkan walaupun kerajaan memberi jaminan berbuat demikian sebelum sidang Dewan Rakyat tamat pada 24 Mac ini.
Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Wong Hon Jun atau Junz Wong berkata, terdapat cakap-cakap bahawa rang undang-undang itu telah ditolak ‘mentah-mentah’ oleh barisan Kabinet.
“Khabarnya RUU anti lompat parti yang dijanji oleh Pakatan Harapan (PH) telah ditolak mentah-mentah oleh Kabinet.
“Oleh itu, RUU itu tidak akan dibentang dalam sesi Parlimen, walaupun PH sebelum ini ke hulu hilir memberitahu para penyokongnya RUU anti lompat parti akan dibentang pada Mac.
“Ada mana-mana pemimpin PH mahu sanggah atau keluarkan kenyataan berkenaan isu ini?” Soalnya dalam hantaran di Facebooknya semalam.
Hantaran itu mendapatkan 256 tanda suka, 78 komen dan enam perkongsian setakat berita ini ditulis.
Pada 5 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan, rang undang-undang itu akan dibentangkan bulan ini dan tarikh sebenar akan diumumkan kemudian.
Utusan Malaysia menghubungi Wan Junaidi dan mendapatkan maklum balas mengenai hantaran Hon Jun. – UTUSAN