IPOH: Operasi mencari dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini dijangka mengambil masa satu ke dua hari.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi itu mengambil masa berikutan berlaku pergerakan tanah di kawasan runtuhan selain bergantung keadaan cuaca.
Katanya, pasukan penyelamat kini menunggu hasil kajian yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa.
“Dalam kejadian berlaku pukul 9.15 pagi itu, dua mangsa cedera dengan seorang daripada mereka patah kaki manakala dua mangsa lagi dipercayai masih berada di bawah runtuhan batu.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat telah pun dimulakan tadi namun dihentikan atas nasihat JMG selepas mengesan pergerakan tanah. Kajian sedang dijalankan JMG dan kita tunggu hasil kajian tersebut, sama ada kita boleh meneruskan operasi menyelamat hari ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi runtuhan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.
Menurut Mior Farid, punca runtuhan batu masih dalam siasatan dan ketika kejadian tiada kerja-kerja meletupkan batu dijalankan.
Katanya, semakan mendapati syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan kuari itu juga mempunyai lesen yang sah.
“Operasi mencari dan menyelamat juga akan dibantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di mana mereka akan membawa peralatan untuk mengkaji pergerakan tanah. Kita tidak mahu dalam usaha menyelamatkan mangsa, berlaku pula kecederaan kepada pasukan penyelamat. Apa pun, kita tunggu kebenaran daripada JMG dan SMART sebelum teruskan proses mengeluarkan mangsa di tempat kejadian,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi itu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
Operasi bermula pukul 9.40 pagi itu melibatkan 57 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk JBPM Perak dibantu Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JMG, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Kinta dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak. – UTUSAN










