PETALING JAYA: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa dua individu yang terperangkap di dalam sebuah rumah kedai di Taman Desa dekat sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.23 pagi tadi.
Jurucakapnya berkata, seramai 35 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Bukit Jalil dan BBP Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi pada 10.28 pagi, anggota mendapati terdapat kebakaran membabitkan bangunan rumah kedai di tingkat tiga.
“Terdapat terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang terperangkap di dalam premis dan mereka diselamatkan menggunakan tangga yang dipasang di bahagian tepi bangunan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, kebakaran itu berjaya dikawal oleh anggota bomba daripada merebak pada 10.46 pagi menggunakan teknik pemadaman secara ‘offensive’ dan ‘defensive’.
“Rumah kedai itu dianggarkan 100 peratus musnah. Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN