KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima kalung bertatahkan berlian merah jambu mahupun meminta barangan kemas tersebut.
Rosmah melalui peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent dalam satu kenyataan kepada media hari ini turut memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai invois barangan kemas itu yang ditunjukkan dalam perbicaraan kes membabitkan pegawai bank, Roger Ng di Amerika Syarikat.
Jelas kenyataan, tindakan mengemukakan invois pada berbicaraan tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa Rosmah terlibat dalam pembelian kalung berlian merah jambu itu.
“Tindakan mensensasikan isu ini adalah satu lagi tindakan politik tidak bermaruah untuk memfitnah anak guam kami dan suaminya,” kata kenyataan tersebut.
Dua hari lalu, juri dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng ditunjukkan invois pembelian kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan Lorraine Schwartz menggunakan wang yang diselewengkan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Schwartz sebelum ini pernah mereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively.
Jho Low
Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.
Keterangan Schwartz dalam perbicaraan itu turut menyatakan dia kemudian menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas perdana menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Jho Low di luar pantai Monaco.
Kata kenyataan itu lagi, Rosmah turut menyatakan beliau dan Datuk Seri Najib Razak hanya mengetahui bahawa putera Arab Saudi bernama Sheikh Mansour Zayed ingin menghadiahkan kalung tersebut kepada bekas Wanita Pertama Malaysia itu.
Bagaimanapun, Rosmah mahupun Najib tidak pernah mengetahui nilai sebenar barangan kemas itu.
“Adalah penting untuk dinyatakan bahawa anak guam kami (Rosmah) tidak pernah menerima kalung berlian merah jambu itu.
“Walaupun selepas beberapa serbuan dibuat oleh pihak berkuasa, kalung itu tidak pernah ditemukan dalam pemilikan anak guam kami,” jelaskenyataan itu.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Khalil Azlan Chik dalam satu kenyataan berkata, jejak kewangan transaksi menunjukkan berlian merah jambu itu dibeli daripada tukang emas berpengkalan di New York.
Sementara itu laporan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa berlian itu dibeli Jho Low untuk Rosmah yang dirujuk sebagai isteri Malaysian Official 1 (MO1).- UTUSAN