TEMERLOH: Program Pembiayaan Mikro bernilai RM48.52 juta telah dibuka kepada usahawan informal dan mikro untuk membuat pinjaman sehingga RM50,000 tanpa mengambil kira rekod pinjaman peribadi dalam CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRISS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, skim pinjaman istimewa itu yang dibuka semalam sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan itu yang terkesan ekoran Covid-19 dan musibah banjir.
Menurutnya, usahawan informal boleh memohon pinjaman maksimum RM10,000 manakala usahawan mikro sehingga RM50,000 tanpa faedah dan diberikan moratorium selama 12 bulan serta tempoh bayaran balik sehingga lima tahun.
“Lebih istimewa permohonan dipermudahkan tanpa mengambilkira rekod pinjaman pribadi daripada CCRIS dan CTOS. Kelulusan mengambil masa dalam tempoh seminggu sekiranya dokumen lengkap,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada lebih 500 usahawan informal dan mikro Parlimen Temerloh di Dewan Tun Razak di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar , Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Pengerusi Tekun Nasional, Shahairi Zukirnain Abd. Kadir.
Noh berkata, melalui inisiatif itu, penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bagi membangunkan semula perniagaan sedia ada.
Menurutnya, pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa dan bil utiliti.
Beliau menyarankan peniaga dalam Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi memulihkan dan demi kelangsungan perniagaan yang terjejas sebelum ini.
Dalam perkembangan lain beliau mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menangguhkan sebarang denda kesalahan yang dilakukan peniaga.
“Peniaga wajar diberi nasihat dan peringatan dalam tempoh bertenang selama enam bulan setelah mengambil kira kesulitan peniaga yang baharu memulakan perniagaan.
“Kerajaan simpati dan peka dengan kesulitan peniaga yang tidak dapat berniaga dalam tempoh lama akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dan musibah banjir,” katanya.
Beliau memaklumkan kementerian tersebut juga menurunkan kuasa kepada pemimpin setempat sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen (MPUKP).
Menurutnya, sebagai pengerusi mereka bertanggungjawab mengadakan pelbagai program keusahawanan bagi meningkatkan peluang perniagaan.-UTUSAN