Remaja tunggang motosikal maut langgar van - Utusan Malaysia

Remaja tunggang motosikal maut langgar van

MANGSA maut di tempat kejadian setelah motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah van di persimpangan Fasa Impian Damai, Taman Seri Impian, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah van di persimpangan Fasa Impian Damai, Taman Seri Impian di sini kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani, mangsa, Zulhazim Zamri, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

Katanya, pemandu van yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 20-an pula tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian berlaku ketika hujan, siasatan awal dipercayai van cuba memasuki simpang ke perumahan berkenaan sebelum dilanggar motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kes berlainan seorang lelaki berusia 70 tahun gagal mengawal kereta dipandu hingga melanggar tiga buah kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Kijang, Simpang Renggam di sini kira-kira 11.15 pagi semalam.

“Sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari arah Jalan Rusa gagal dikawal dan melanggar tiga buah kereta yang berada di petak meletak kenderaan. Semasa mengundur, pemandu telah melanggar sebuah lagi kereta di Jalan Rusa.

“Tiada kecederaan berlaku dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN