MARANG: Harga buah tembikai dari Terengganu yang dipasarkan di Lembah Klang dan utara tanah air dijangka meningkat menjelang Ramadan kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kenaikan itu susulan kemusnahan kebanyakan kawasan tanaman kontan akibat bencana banjir pada Februari lalu.
Katanya, Terengganu merupakan pengeluar utama tembikai di Malaysia dengan memiliki lebih 404 hektar kawasan penanaman buah berkenaan.
“Jadi kalau harga tembikai sedikit mahal pada bulan puasa ini adalah kerana kebanyakan kawasan terjejas dalam banjir lalu.
“Lazimnya bulan Mac dan April adalah tempoh kemuncak apabila sehingga 40 lori keluar dari Terengganu menghantar bekalan tembikai ke Lembah Klang dan utara, tetapi situasi itu mungkin berkurangan kerana banyak kebun yang ditenggelami bah,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Program Pemberian Bantuan Baja Pertanian Kepada Pekebun Kecil B40 Parlimen Marang yang disempurnakan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Tok Guru, Rusila di sini hari ini.
Menurut Azman, selain tembikai, bekalan ikan air tawar seperti patin dan baung untuk pasaran pada Ramadan turut terjejas akibat bah.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menerusi Tabung Bencana Pertanian meluluskan bantuan saguhati sebanyak RM1 juta kepada lebih 400 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar yang terkesan banjir.
Katanya, bantuan berkenaan akan diagihkan ke dalam akaun penerima dalam masa terdekat. – UTUSAN










