PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyelar dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa rakyat Johor tidak ada kesedaran politik Islam.
Katanya, Pas seolah-olah mahu kembali ke perangai lamanya yang melabel orang lain dengan pelbagai gelaran jika tidak mengikut atau menyokongnya.
“Mendakwa rakyat Johor tidak menyokong Pas kerana tidak faham agama adalah salah dan keterlaluan. Ini kerana rakyat Johor yang mempunyai asas agama Islam yang baik dan ada kebijaksanaan menilai,” katanya dalam kenyataan.
Sebaliknya, beliau menganggap sistem pendidikan agama Islam di Johor adalah yang terbaik di negara ini.
“Malah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) merupakan suatu sistem sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
“Melaluinya Johor mampu membentuk pelajar dengan keperibadian mulia, berfikiran positif, berdaya kreatif, produktif serta sentiasa berdaya tahan dan berdaya maju.
“Kerana itu, sistem pendidikan ini boleh dikatakan sebagai sistem pendidikan Islam terbaik,” katanya.
Beliau juga mendakwa, kebanyakan negeri di Malaysia mencontohi Johor.
“Sistem pendidikan Islam Johor terbaik di Asia Tenggara, dan ia merupakan pemangkin utama dalam memberi pendidikan akidah kepada warga Johor. Kalau dikaji sejarah pendidikan Islam di Johor bukan sesuatu yang baru kerana ianya telah lama dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri Johor terbabit secara langsung dalam sistem pendidikan agama sejak 1895 lagi apabila Sultan Abu Bakar mewujudkan perlembagaan bertulis bagi negeri ini.
“Sejak daripada tarikh itu, Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar terus menunjukkan keprihatinan yang mendalam berhubung pendidikan agama,” katanya.
Tambahnya, hasil keprihatinan itu, masyarakat Islam negeri Johor meraih manfaat yang besar sehinggalah amalan menghantar anak untuk mengikuti pengajian agama sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Johor.
“Kerana itu dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor, kita meletakkan Islam sebagai tonggak utama Kemakmuran Johor. Pada masa sama keharmonian dan semangat toleransi antara kaum yang telah sebati dalam sanubari Bangsa Johor sentiasa dikukuhkan.
“BN Johor kekal komited menegakkan Syiar Islam dan Kemajmukan Johor. Malah BN Johor mahu menaiktaraf Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) ke status Kolej Universiti.
“Institut Tahfiz swasta di Johor melalui Johor Tahfiz Qualiti Annurance (JTQA) akan diperkasakan. Ini bukti keutamaan BN Johor dalam memperkukuhkan pendidikan Islam kepada Bangsa Johor.
“Kepada pimpinan Pas, Islam ini milik semua,” katanya. – UTUSAN