Pulau Pinang: 31,818 penerima i-Sejahtera belum kemas kini akaun bank - Utusan Malaysia

Pulau Pinang: 31,818 penerima i-Sejahtera belum kemas kini akaun bank

PHEE BOON POH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai 31,818 pemohon bantuan program i-Sejahtera di negeri ini masih belum mengemas kini akaun bank mereka sehingga kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, keadaan itu akan menyukarkan pembayaran dana tersebut untuk fasa kedua yang dijangka bermula hujung bulan depan.

Boon Poh berkata, daripada jumlah itu, 27,052 daripadanya merupakan pemohon untuk program Penghargaan Warga Emas; 1,001 pemohon program Bantuan Ibu Tunggal dan selebihnya penerima program Bantuan Suri Emas.

“Sehubungan itu, semua pemohon yang belum mengemas kini maklumat bank diminta segera berbuat demikian supaya wang sumbangan tersebut dapat disalurkan tanpa sebarang masalah. Pengemaskinian maklumat akaun bank itu boleh dilakukan secara dalam talian melalui sistem i-Sejahtera atau boleh terus ke kaunter Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) atau ke pejabat daerah berdekatan dengan mengemukakan salinan maklumat akaun bank yang masih aktif,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, program i-Sejahtera untuk fasa pertama telah selesai dijalankan pada 4 Februari lalu melibatkan 230,062 penerima secara keseluruhannya yang dikreditkan secara terus ke dalam akaun bank penerima (EFT).

Kata Boon Poh, kaedah itu dibuat bagi menggantikan pembayaran dana secara tunai yang telah dihentikan kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun tambah beliau, berdasarkan rekod, seramai 1,167 penerima tidak dapat menerima bayaran menerusi kaedah itu disebabkan beberapa masalah termasuk akaun bank yang tidak dapat dikenal pasti, nombor akaun tidak sah, akaun tidak aktif serta akaun yang telah ditutup.

Dalam pada itu, Boon Poh memberitahu, bayaran tertunggak bagi tahun 2020 dan 2021 akan turut dipertimbangkan untuk dibayar tahun ini sekiranya pemohon membuat pengemaskinian maklumat akaun bank selewat-lewatnya sebelum 7 April ini.

“Selepas dari tempoh itu, semua pemohon di bawah kategori penerima menerusi kaedah tunai akan dikeluarkan daripada sistem dan baki tunggakan tahun-tahun sebelum tidak akan dibawa ke tahun semasa atau berikutnya.  Pendaftaran semula juga perlu dibuat sekiranya pemohon tersebut masih berminat untuk menerima manfaat di bawah program i-Sejahtera selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN