JOHOR BAHRU: Proses pengundian di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini lancar tanpa provakasi atau kekecohan dengan kawalan hampir 11,000 anggota.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika meninjau proses pengudian di beberapa pusat pengundian sekitar bandar di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga berpuas hati dengan persiapan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di semua pusat pengundian.
Beliau berkata, pihaknya turut menempatkan antara lima hingga 10 anggota di setiap pusat pengundian sepanjang hari ini.
“Saya juga teruja hari ini kerana keadaannya aman, kalau dulu di luar sana (pusat pengundian) ada kumpulan-kumpulan penyokong yang datang, tetapi hari ini tidak ada.
“Cuaca juga baik pada sebelah pagi, tiada gangguan dan ia selamat, proses perjalanan pengundian hari ini juga berjalan lancar,” katanya.
Kamarul Zaman menambah, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan pergaduhan dan kesalahan ke atas individu lain.
“Cuma semalam sahajalah kita terima laporan berkaitan conteng poster dan bendera. Kita akan siasat perkara itu dan selepas ini kita akan ambil tindakan,” katanya.- UTUSAN