PETALING JAYA: Tanpa mengira latar belakang, setiap orang mempunyai impian dan cita-cita, hal sama juga dimiliki golongan belia dianggap berisiko wajar diberi peluang kedua untuk menentukan masa hadapan mereka yang lebih baik.
Justeru, Program Team dengan sokongan daripada Selangor Youth Community (SAY) yang dinaungi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Prince’s Trust International (PTI) diwujudkan sejak 2020.
Malah, kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwujudkan bagi membantu belia bersasar yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui institusi-institusi di bawah jabatan berkenaan.
Tengku Amir Shah bertitah, menzahirkan rasa sukacita terhadap program tersebut dan pencapaiannya apabila ramai belia berisiko khususnya di Selangor dapat diberi bantuan dan bimbingan.
“Daripada pembentangan hari ini, kita dapat melihat bagaimana anak muda mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat mereka dan menjadi lebih baik dalam kehidupan.
“Walau bagaimanapun, kita harus akui sesetengah golongan berdepan pelbagai cabaran (bangsa, jantina, agama, keluarga atau latar belakang sosioekonomi) yang menghalang mereka mencapai potensi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) antara SAY dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Zalilah Mohd. Yusof.
Baginda menambah, menerusi Program Team, pelbagai modul dinamik dirangka dengan kerjasama pelbagai organisasi bagi memberi pendedahan dan peluang kepada golongan berkenaan.
“Kami juga menglau-alukan mereka yang turut berkongsi nilai dan objektif yang sama dengan kami di Program Team dalam memacu perubahan kehidupan golongan belia bersasar di luar sana,” titah baginda lagi.
Sebanyak tujuh kohort dalam Program Team sudahpun dilaksanakan sejak kewujudannya pada dua tahun lalu dan seramai 90 orang peserta menyertai program selama sembilan minggu itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Rodzi, peluang kedua menerusi Program Team adalah bagi membantu belia berisiko menyesuaikan diri dengan dunia luar menerusi modul-modul khas.
Jelas beliau, selepas sembilan minggu menyertai program berkenaan, pemantauan berterusan diberikan kepada peserta untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan suasana di tempat kerja.
“Secara umumnya peserta ini adalah belia berisiko seperti penganggur, bekas juvana, pesakit HIV, lepasan penjaga (rumah anak yatim atau kebajikan) dan macam-macam lagi.
“Berisiko dalam konteks ini adalah, jika mereka tidak dapat bantuan, mereka tidak tahu ke mana hendak pergi. Tak ada orang hendak beri bimbingan, kadang-kadang pemilik rumah kebajikan tiada hubungan dengan pihak luar, tak tahu hendak bawa ke mana,” jelasnya. – UTUSAN










