SHAH ALAM: Selain bantuan melalui program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI), mangsa banjir di negeri ini turut dibantu menerusi Program Kita Bantu Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).
Malah setakt awal tahun ini, seramai 50,405 orang sudah pun menerima sumbangan yang ditaja daripada pelbagai syarikat korporat termasuk Sunway Berhad (Kumpulan Sunway).
SAY dalam satu kenyataan memaklumkan, terbaru pihaknya menyalurkan sumbangan
Yayasan Lau Gek Poh diwakili Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan Hap Seng Consolidated Berhad, Gary Pang yang telah disampaikan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sumbangan tersebut bagi membantu mengurangkan beban buat mereka yang terkesan dengan banjir di negeri ini pada penghujung Disember tahun lalu.
“Sebanyak 50 keluarga menerima sumbangan yang bertempat di Kampung Kebun Bunga di sini baru-baru ini. Sumbangan termasuk makanan basah dan kering, pek penjagaan kesihatan, barang keperluan elektrik, alatan pembersihan, dan sebagainya yang diperlukan oleh mangsa banjir untuk bangkit semula daripada musibah yang melanda,”katanya
Katanya lagi, selain bantuan tersebut bantuan barangan elektrik seperti pengisar, cerek jag elektrik, dapur das, dan periuk nasi merupakan antara barangan yang diterima oleh penduduk di kawasan lain seperti Sungai Lui dan Batu 13, Puchong yang terjejas pasca banjir.
Jelasnya lagi, sejak bermulanya banjir, pihak SAY bersama YRMS telah bertungkus lumus untuk membantu mereka yang terkesan di beberapa daerah sekitar Selangor.
“Antaranya di Kuala Langat (melalui Majlis Belia Malaysia), Hulu Langat (melalui Yayasan Sukarelawan Siswa) Petaling serta Klang,” jelasnya.
Untuk rekod, program Kita Bantu anjuran SAY dan YRMS diwujudkan untuk membantu individu dan keluarga yang terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda.
Sejak tercetusnya idea ini pada April 2020, program Kita Bantu telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang terkesan antaranya keluarga B40, pelajar, peniaga kecil, petugas barisan hadapan dan yang terbaru, golongan yang terjejas oleh banjir besar pada hujung tahun lalu. UTUSAN










