PRN Johor: sokongan terhadap BN meningkat

PRN Johor: sokongan terhadap BN meningkat

BUNG Moktar Radin (kanan) bersama calon BN DUN Tiram, Azizul Bachok (dua kanan) semasa perjumpaan di PDM kawasan DUN Tiram, pada Jumaat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Ketika tempoh berkempen memasuki pecutan terakhir, sokongan terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) dilihat mula menunjukkan peningkatan.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sokongan pengundi di kawasan angkat BN Sabah juga menunjukkan suasana yang baik maka, dengan melakukan pecutan terakhir pada minggu kedua berkempen ini, tidak mustahil BN dapat menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kawasan angkat BN Sabah adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Puteri Wangsa, Permas dan Johor Jaya.

“Jika dibandingkan pada hari pertama berkempen, saya fikir sokongan terhadap BN sudah meningkat.

“Hanya berbaki berapa hari sahaja lagi sebelum hari pengundian pada 12 Mac ini dan saya lihat semua calon telah memberikan yang terbaik dan semua parti mempunyai peluang.

“Namun, berdasarkan prestasi calon, tidak mustahil BN dapat menguasai PRN Johor khususnya di kawasan ini,” katanya selepas lawatan ke beberapa pusat daerah mengundi (PDM) pada Jumaat.

Bung Moktar, yang juga Ahli Majlis Tertinggi BN itu berharap agar momentum sebegitu sampai ke hari pengundian. Maka, jentera-jentera BN perlu melipatgandakan usaha ketika berkempen pada pusingan terkahir ini untuk memenangi hati pengundi dengan memperjelaskan manifesto BN Johor.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, penjelasan perlu diberikan kepada pengundi berdasarkan fakta agar mereka boleh melihat hala tuju BN dengan lebih jelas berbanding budaya kempen pihak lawan yang banyak menabur fitnah serta melakukan serangan peribadi.

“Rakyat sudah muak dengan cara kempen proganda dan fintah parti pembangkang. Apa yang rakyat mahukan sekarang adalah kestabilan politik dari sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk membangunkan negara demi kesejahteraan kehidupan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran jentera BN Sabah bagi membantu kempen pada kali ini berdasarkan semangat Keluarga Malaysia yang ingin membawa kestabilan politik di Johor menerusi BN. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN