JOHOR BAHRU: Mahasiswa negeri ini tidak kisah rekod sesebuah parti sebaliknya bakal menilai kredibiliti calon yang mampu membawa suara golongan muda bagi membentuk negara kukuh dan stabil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Mahasiswa Pendidikan Teknologi Binaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhd. Zikri Hasan, 25, berkata, calon mestilah tahu apa diperlukan dalam geopolitik negara dan bukan hanya menjaja manifesto yang tidak realistik mahu meraih undi golongan berusia 18 tahun ke atas serta pengundi baharu.
“Saya pilih calon ada tahap intelektual diimbangi pengalamannya politik, muda tak semestinya umur 20-an tapi ‘muda’ yang perlu menjiwai kemahuan generasi baharu,” katanya semalam.
Penuntut Sarjana Pendidikan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur Syazeera Abdullah, 26, mengakui calon muda dan popular menarik perhatian mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun yang mahu mengundi kali pertama.
“Saya mementingkan kredibiliti calon berbanding parti diwakili kerana parti tidak menjanjikan calon yang baik.
“Kita mahukan pemimpin yang memimpin dan mencorak negara yang menekankan kesejahteraan ekonomi, kesepaduan rakyat dan sebagainya,” ujarnya.
Mahasiswa Pengurusan Perniagaan Tani Universiti Utara Malaysia (UUM), Khairul Azman Abdullah, 25, beliau berharap kombinasi pemimpin baharu dan berusia perlu ada bagi mengimbangi antara membawa aspirasi orang muda serta pengalaman mentadbir negara yang kukuh.
“Tentunya, pengundi muda mahukan calon muda ada dalam pentadbira bagi menarik minat mereka ke arah itu. Selain faktor calon, manifesto parti yang menekankan kepentingan golongan muda juga dapat memancing undi pengundi baharu ini,” katanya.- UTUSAN











