JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak terlalu bangga dengan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kejayaan itu dicapai dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir berkata, hal itu kerana kira-kira 40 peratus lagi pengundi Johor yang layak tidak keluar mengundi, selain sebahagian yang mengundi juga tidak menyokong mereka.
Katanya, walaupun Pejuang tidak menang di semua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka, pihaknya tetap menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.
“Kita berasakan keputusan ini sedikit mengecewakan, namun tetap terima dengan sepenuh hati keputusan dibuat rakyat negeri ini. Pada waktu sama, saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor khususnya yang mengundi calon kami, begitu juga ucapan terima kasih kepada jentera parti dari dalam dan luar Johor,” katanya dalam sidang akhbardi Ibu Pejabat Pejuang di Taman Seri Setanggi di sini, lewat malam tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun itu memberitahu, PRN Johor adalah permulaan buat Pejuang memperkenal parti kepada rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)
“Pejuang masih baharu, tidak sampai tujuh bulan lagi ia didaftarkan. Jadi ramai pihak belum kenal termasuk logo parti kerana ia terlalu singkat. Kita juga akui banyak kelemahan dan ia akan terus diperbaiki pada masa depan, perkara ini tidak akan melemahkan semangat khususnya dalam perjuangan menentang gejala rasuah,” ujarnya.
Tambah Mukhriz, Pejuang akan menyusun strategi lebih baik dalam usaha menambat hati rakyat kerana banyak perkara yang dapat dipelajari partinya menerusi kempen PRN Johor ini.
“Kita tidak melihat PRN sebagai medan ujian atau populariti, sebaliknya perjuangan kami adalah untuk menubuhkan kerajaan negeri jika diizinkan. Namun itu tidak menjadi dan kita ambil sebagai iktibar,” jelasnya. – UTUSAN