PRN Johor: Ada beberapa nama calon MB dari Pejuang

PRN Johor: Ada beberapa nama calon MB dari Pejuang

DR. MAHATHIR Mohamad berswafoto dengan orang ramai sempena Program Aspirasi Johor bersama beliau di PDM Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIMPANG RENGGAM: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sudah mempunyai beberapa calon dalam pertimbangan mereka yang sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini. 

Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, nama calon-calon itu bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana ingin memberi tumpuan kepada usaha memenangkan parti terlebih dahulu.

“Kita mempunyai beberapa calon bertanding yang mampu pegang jawatan Menteri Besar. Jika kita bagi (dedah) nama calon Menteri Besar sekalipun, jika calon itu kalah, mereka tak boleh dilantik juga.

“Sebab itu, kita tidak tidak namakan calon Menteri Besar sejak awal. Siapa jadi calon itu bergantung kepada mereka yang menang. Harap rakyat Johor beri kemenangan kepada Pejuang, maka masa itu kita akan namakan calon Menteri Besar dari Pejuang,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam, Machap, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan, Pejuang sudah mempunyai ‘plan B’ untuk mewujudkan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu sekiranya parti itu gagal mendapat majoriti mudah untuk mentadbir. 

Beliau berkata, ada beberapa parti yang sudah dikenal pasti untuk mewujudkan pakatan baharu secara bersama yang turut mendukung aspirasi dan perjuangan serupa dengan Pejuang tetapi belum memuktamadkan perkara itu buat masa ini.

“Ada parti lain yang sebulu dengan kita serta berpegang kepada prinsip haramkan penyelewengan dan rasuah. Jika mereka berpegang kepada prinsip sama, kita rela bekerjasama untuk mencukupkan bilangan kerusi supaya dapat tubuh kerajaan,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, penyertaan Pejuang pada PRN Johor semakin mendapat maklum balas positif apabila ramai yang menyatakan sokongan kepada parti itu termasuk pengundi bukan Melayu. 

“Menerusi kempen yang dijalankan setakat ini, ramai penyokong masyarakat Tionghua menyatakan sokongan kepada Pejuang yang berjuang untuk membentuk kerajaan yang bersih. Sudah tentu kami berharap dapat memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya. 

Ditanya mengenai harapannya pada PRN Johor ini, Dr. Mahathir menjelaskan Pejuang berhasrat untuk menyingkirkan penyangak dan penyamun yang diberikan kuasa mentadbir ketika ini. 

Katanya, perubahan itu perlu dilakukan untuk membentuk kerajaan yang bersih daripada pemimpin yang korup baik di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa pola pengundi kaum Cina beralih dari DAP kepada MCA, kata Dr. Mahathir itu hanyalah angan-angan Najib sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya