Polis siasat pegawai APM ingkar arahan, pemilik Facebook

Polis siasat pegawai APM ingkar arahan, pemilik Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan terhadap pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang ingkar arahan ketika kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, di sini, semalam.

Ini susulan polis mengesan satu video  pemilik akaun Facebook yang memuat naik video Komander Operasi Bencana sedang memberi arahan dan kawalan di tempat kejadian tanah runtuh.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, video yang berdurasi 55 saat itu disebarkan oleh pemilik akaun Facebook yang memaparkan salah seorang pegawai APM ingkar arahan  diberi oleh Komander Operasi Bencana.

Menurutnya, arahan juga sudah dikeluarkan oleh Komander Operasi Bencana supaya pasukan APM tidak dibenarkan memasuki tempat berkenaan selepas penilaian situasi dibuat dari segala sudut aspek keselamatan dan ruang yang terlalu sempit dan terhad. 

“Bagaimanapun, pegawai APM ini masuk ke lokasi bencana tanpa kebenaran. Kawasan ini adalah kawasan larangan yang mana akan menjejaskan keselamatan pasukan carian dan akan menganggu usaha operasi menyelamat.

“Malah, dalam situasi berkenaan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berada di dalam kawasan kejadian dalam usaha mencari dan menyelamat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, penyebaran video berkenaan juga menjejaskan reputasi  polis terutama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya serta boleh disalah tafsir oleh orang ramai.

Ujar beliau, susulan itu, polis membuka satu kertas siasatan dan diklasifikasikan kepada seksyen iaitu Sek 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan kenyataan yang mendatangkan khianat awam; Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kandungan dan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial tanpa membuat verifikasi terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN