KUANTAN: Polis Pahang menyarankan agar rumah-rumah kebajikan di negeri ini yang menempatkan kanak-kanak disarankan melakukan pengasingan mengikut perbezaan umur dalam kalangan penghuni rumah terbabit.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, usaha itu sedikit sebanyak mampu mengelak berlaku kes buli hingga mengakibatkan kecederaan dan kematian.
“Dalam konteks ini, kalau saya boleh tambah sikit dalam elemen pencegahan, mungkin ada sistem pengasingan antara kanak-kanak yang besar sikit dan yang kecil. Kalau katalah usia 16 dan 11 tahun itu, bezanya lebih kurang lima tahun, jadi kena ada sedikit ‘pengasingan’ supaya mereka tidak menjadi mangsa kanak-kanak lebih besar ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Peringkat Pahang di sini hari ini.
Ramli diminta mengulas tentang kejadian seorang penghuni rumah anak yatim maut dibelasah rakannya di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin dekat sini, 20 Mac lalu.
Mangsa, Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, 11, dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh seorang lagi penghuni rumah anak yatim itu.
Mengulas berhubung keputusan bedah siasat dijalankan ke atas mangsa, Ramli berkata, punca kematian adalah akibat hentakan benda tumpul pada bahagian kepala atau terhentak.
“Bedah siasat sudah dibuat dan saya difahamkan dan dapatannya adalah kecederaan dalam kepalanya. Ini bermakna ia bukanlah seperti yang dilaporkan sebelum ini. Ada mengatakan (mangsa) meninggal dunia akibat dicekik dan sebagainya. Itu bukan punca kematian budak 11 tahun ini dan perkara itu dalam siasatan, punca kematian akibat hentakan benda tumpul atau macam terhentak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, suspek masih direman sehingga 27 Mac ini bagi tujuan melengkapkan siasatan dan proses pendakwaan hanya akan diputuskan sebaik sahaja proses siasatan selesai.
“Memandangkan kes ini membabitkan kanak-kanak, tidak banyak yang boleh saya dedahkan kerana ada akta melindungi mereka. Jadi kita tunggulah dan saya harap semua pihak, termasuk pihak sekolah dan pengurusan rumah kebajikan dan rumah anak yatim untuk sentiasa berhubung dengan kami bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku akan datang.
“Kalau ikutkan, memang kita sentiasa melakukan pemeriksaan rawak di sekolah atau rumah kebajikan, tapi kita perlukan kerjasama mereka kerana pegawai dan anggota kita tidak boleh berada di semua tempat dan setiap masa untuk memantau perkara ini,” katanya. – UTUSAN










