TAMPIN: Polis memohon bantuan saksi awam untuk tampil membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin, berdekatan sebuah restoran makanan segera pada 26 Mac lalu.
Ia berikutan, tular kenyataan seorang wanita yang juga isteri mangsa yang mendakwa suaminya itu dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang menjadi pihak ketiga dalam kemalangan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab, setakat ini masih tidak terkesan kenderaan lain sebagaimana yang dinyatakan oleh wanita tersebut menerusi hantaran di Facebook.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah motosikal iaitu motosikal yang ditunggangi mangsa jenis Honda RS dan motosikal jenis Yamaha Lagenda.
“Bagaimanapun sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kemalangan berkenaan yang berlaku kira-kira pukul 8 malam, mereka diminta untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi di talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin,” katanya dalam satu kenyataan hari ni.
Anuwal berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –UTUSAN