Polis kenal pasti lelaki pukul penunggang basikal dalam video tular - Utusan Malaysia

Polis kenal pasti lelaki pukul penunggang basikal dalam video tular

TANGKAP layar video seorang lelaki memukul penunggang basikal di persimpangan lampu isyarat dekat Aeon Seri Manjung di Jalan Seri Manjung-Segari di Lumut. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis sudah mengenal pasti lelaki yang memukul seorang penunggang basikal di persimpangan lampu isyarat di Seri Manjung yang videonya tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mengesan penularan satu video berdurasi 52 saat dimuat naik pemilik halaman Facebook ‘Sukan Star TV’, semalam, memaparkan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna biru memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal.

“Hasil siasatan awal, polis mengesahkan tempat kejadian adalah di persimpangan lampu isyarat berhampiran dengan Aeon Mall Seri Manjung, Jalan Seri Manjung-Segari,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan mendapati pemilik kenderaan tersebut dikenal pasti merupakan seorang lelaki warga tempatan yang berasal dari Ayer Tawar, dekat sini.

Katanya, polis juga mengenal pasti suspek yang memukul penunggang basikal itu merupakan rakan kepada pemilik kenderaan tersebut yang berasal dari Batu Gajah.

“Menurut pemilik kenderaan tersebut, keretanya telah dipinjam oleh suspek pada 13 Mac lalu manakala mangsa merupakan seorang lelaki dipercayai warga asing yang masih belum dikenal pasti dan sehingga kini masih belum tampil untuk membuat laporan polis,” jelas Nor Omar.

Nor Omar memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis.

Dalam video tersebut dipercayai dirakam menerusi kamera kenderaan yang berada di belakang Proton Wira tersebut, kelihatan kereta itu berhenti di jalan susur sebelah kiri menuju ke Aeon Seri Manjung.

Seorang lelaki kemudian keluar dari kereta itu sambil memegang sebatang alat panjang dipercayai batang besi dan menuju kepada seorang lelaki menaiki basikal yang sedang berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah.

Lelaki itu kemudian dilihat melibas batang besi ke arah lelaki tersebut yang cuba mengelak sehingga basikalnya terjatuh.

Suspek kemudiannya kembali ke kereta dipandunya dan beredar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN