ALOR SETAR: Polis Kedah menggerakkan jabatannya untuk memerangi semua jenis kegiatan judi termasuk dalam talian dan nombor ekor haram di seluruh negari ini.
Ketua Polis negeri, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, operasi membanteras kegiatan judi itu dilancarkan sebulan lepas dan diadakan secara berterusan melibatkan semua pasukan di peringkat ibu pejabat polis daerah (IPD).
“Setakat ini ada 147 tangkapan kita lakukan dalam usaha untuk banteras judi secara berterusan dan kita mohon anggota masyarakat supaya tampil menyalurkan maklumat,” katanya selepas Majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 58 individu termasuk anggota polis dan orang awam menerima sijil penghargaan khas kerana membantu pasukan keselamatan itu dalam membanteras jenayah di negeri ini.
Utusan Malaysia pada 23 Mac lalu melaporkan kegiatan sindiket judi nombor ekor haram di daerah ini didakwa semakin berleluasa walaupun selepas kerajaan negeri tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian berkuat kuasa November tahun lalu.
Wan Hassan menambah, operasi membanteras kegiatan itu dipergiat di bandar besar seperti Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu dan Langkawi. – UTUSAN










