Polis berkas anggota kumpulan Geng Kong - Utusan Malaysia

Polis berkas anggota kumpulan Geng Kong

AHSMON Bajah (kanan) menunjukkan antara peralatan yang digunakan suspek dalam kegiatan pecah rumah dan memecahkan mesin layan diri bagi tujuan mengambil wang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan tiga anggota Geng Kong, sebuah kumpulan kecil yang menyasarkan kedai-kedai dobi 24 jam dan mesin layan diri serta kegiatan pecah rumah di sekitar Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tiga anggota kumpulan terbabit yang berusia 15 hingga 21 ditahan pada 2 Mac lalu.

Menurut beliau, ketua Geng Kong berkenaan juga didapati positif dadah.

“Dengan tertangkapnya tiga ahli kumpulan terbabit, kita berjaya menyelesaikan 20 kes melibatkan kegiatan pecah kedai dobi 24 jam, mesin layan diri dan pecah rumah di sekitar Kuching.

“Daripada 20 kes berkenaan yang membabitkan kerugian sebanyak RM30,000, 13 kes sudah selesai siasatan dan akan didakwa,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, Geng Kong aktif sejak Disember tahun lalu.

Jelasnya, kumpulan itu turut terlibat dalam dua kes samun dan menggunakan motosikal untuk kegiatan tersebut.

Katanya, ketiga-tiga motosikal yang digunakan adalah motosikal yang dicuri dengan nombor pendaftaran palsu.

Salah seorang daripada ahli yang berusia 15 tahun tercicir dari sekolah.

Dalam kes berkaitan, Ahsmon berkata, pasukan polis turut melakukan serbuan di sebuah premis persendirian yang dijadikan bengkel haram untuk menyimpan barang-barang dicuri oleh geng berkenaan.

Katanya, pemilik premis berusia 54 tahun dan mempunyai lima kes jenayah lampau turut ditangkap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN