PNRM bantu wanita, B40 jadi usahawan - Utusan Malaysia

PNRM bantu wanita, B40 jadi usahawan

PUTRI NURSHAHIRAH Rashid menubuhkan Persatuan Nurani Rakyat Malaysia (PNRM) bagi membantu golongan wanita dan OKU menceburi bidang perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Persatuan Nurani Rakyat Malaysia (PNRM) komited membimbing dan membantu wanita termasuk golongan B40 berdiri atas kaki sendiri dengan menceburi bidang perniagaan.

Pengalaman diri pernah bergelar ibu tunggal menguatkan lagi keinginan Presiden PNRM, Datin Putri Nurshahirah Rashid, 37, memperjuangkan nasib wanita dan golongan B40.

Usaha itu ‘berbaloi’ apabila PNRM merangkul Anugerah Pencapaian Luar Biasa Tahunan Dalam Industri Kemanusiaan dan Amal buat julung kalinya anjuran Ikon Malaysia dengan kerjasama Organisasi Pengarah Syarikat Malaysia (MOCAD), baru-baru ini.

Sememangnya Putri Nurshahirah layak dijadikan inspirasi dan contoh, bukan saja dalam perniagaan tetapi sebagai ibu kepada lapan anak dan isteri berkerjaya malah difahamkan nama PNRM itu diperoleh menerusi namanya sendiri.

Menurutnya, bukan mudah untuk berjaya apatah lagi apabila pernah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

“PNRM sebagai pemudah cara, menjadi jambatan menghubungkan antara ahli, dengan kerajaan dan badan korporat menerusi pelbagai program bimbingan dan bantuan keusahawanan dijalankan.

“Pelbagai aktiviti sosioekonomi dianjurkan bagi membantu meningkatkan ekonomi di samping mengukuhkan sumber kewangan ahlinya.

“Alhamdulillah, ada yang berjaya malah menjadi pemilik kilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Putri Nurshahirah berkata, kini semakin ramai wanita berani berkecimpung dalam sektor perniagaan apabila diberikan bantuan dan bimbingan keusahawanan yang tepat.

“Pada tahun ini, kami berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak kementerian dan badan korporat untuk membantu lebih ramai ibu tunggal dan B40 bergelar usahawan.

“Di samping itu, bagi memperkenalkan lagi PNRM kepada masyarakat, pihaknya akan terus aktif mempromosikan persatuan itu secara berterusan dengan menggunakan pelbagai platform,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN