PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Doha hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke Qatar.
Pesawat membawa Perdana Menteri selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada pukul 3 petang waktu tempatan.
Ketibaan beliau di Terminal Diraja disambut Menteri Pengiring iaitu Menteri Perbandaran Qatar, Dr. Abdullah Abdulaziz Turki Al-Subaie.
Mewakili Malaysia yang menyambut kedatangan Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.
Perdana Menteri kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat dibarisi Pengawal Istiadat Amiri serta menaiki kenderaan khas.
Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri dijadual melawat Ladang Baladna, iaitu antara ladang ternakan lembu terbesar di rantau itu yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Doha untuk menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara PR1MA dan Lembaga Pelaburan Qatar.
Beliau juga dijadual menghadiri sesi libat urus dengan komuniti perniagaan serta Keluarga Malaysia di Doha.
Pada Selasa pula, Perdana Menteri akan melakukan kunjungan hormat ke atas Emir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di Amiri Diwan.
Agenda perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu berhubung pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang kerjasama.
Kedua-dua pemimpin akan menetapkan hala tuju kerjasama ekonomi dan usaha pemulihan pasca-pandemik, selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa yang penting. – UTUSAN










