Pesara Mara maut, motosikal terbabas - Utusan Malaysia

Pesara Mara maut, motosikal terbabas

MOTOSIKAL ditunggang Mohd. Sahat Othman yang terbabas di susur Lebuh AMJ, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pesara Majlis Amanah Rakyat (Mara) maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas di susur Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kandang-Ayer Molek di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Mohd. Sahat Othman, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari lampu isyarat Kandang memasuki susur kiri ke arah Ayer Molek.

Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Alai.

Jelasnya, setiba di lokasi, motosikal jenis Demak Eco 110 ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas.

“Mangsa kemudian terjatuh dan dipercayai telah terkena tayar belakang sebuah lori. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hasan Basri, hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi tidak menemukan sebarang kesan pelanggaran, brek atau calar di atas jalan raya.

“Kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Jabatan Kimia Melaka untuk pemeriksaan kesan pelanggaran pertama dan kesan cat atau sentuhan antara kenderaan. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan hasil ujian Covid-19 adalah negatif, proses bedah siasat akan dilaksanakan bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN