PETALING JAYA: Perkembangan dan pencapaian koperasi di Johor kekal relevan sekali gus mendapat kepercayaan kerajaan negeri melalui peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi membantu koperasi kecil dan mikro memulakan semula aktiviti perniagaan tahun ini.
Pembangunan koperasi di Johor turut mendapat sokongan daripada Iskandar Region Development Authority (IRDA) melalui Village Enhancement & Empowerment Programme (VEEP) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi memperkasakan ekonomi penduduk desa di kawasan IRDA dengan platform koperasi komuniti.
Sepanjang tahun 2021, sebanyak RM9.6 juta telah diluluskan menerusi Tabung Modal Pusingan kepada 17 buah koperasi di seluruh negeri Johor merangkumi pinjaman bercagar dan pembiayaan khas Covid-19.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor, Fadilah Salim berkata, Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) selaku agensi kerajaan negeri menyediakan geran kepada koperasi melalui Program Pembangunan Ekonomi Setempat bagi membiayai projek berdaya maju dan bermanfaat kepada komuniti setempat.
“Perkembangan dan pembangunan koperasi di Johor turut mendapat sokongan dan kepercayaan menerusi pelbagai program penyelarasan bersama agensi lain seperti Felcra Berhad (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Berdasarkan sokongan yang diberikan kerajaan negeri dan agensi lain, terbukti koperasi di negeri ini mampu memainkan peranan besar kepada anggotanya bahkan menjadi pemangkin menerusi perkongsian kemakmuran bersama rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Fadilah, pihaknya tekad untuk membawa perubahan bagi memastikan koperasi dapat beri manfaat kepada ahli dan komuniti setempat.
Katanya, perancangan itu juga selari dengan hasrat SKM dalam memacu pembangunan koperasi lebih progresif dan berdaya saing sekaligus memberi manfaat kepada sosioekonomi rakyat selari dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025.
“Sasaran tahun ini adalah untuk meluaskan lagi skala operasi dan aktiviti ekonomi seperti pembabitan dalam sektor pertanian moden seperti fertigasi memandangkan Johor mempunyai modal tanah yang besar.
“Gabungan aktiviti antara koperasi dan agensi lain juga dapat membuka peluang untuk mewujudkan hub pertanian moden dan memberi pulangan lumayan apabila pintu sempadan dibuka kelak selain segmen ekonomi pembangunan hartanah yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN