PONTIAN: Peratusan keluar mengundi yang kecil jika terus berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini berkemungkinan akan menjadikan kerajaan negeri sebagai kerajaan minoriti sahaja.
Pengerusi Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kebimbangan itu berdasarkan kepada peratus yang tidak menggalakkan sehingga pukul 2 petang yang hanya sekitar 40 peratus seperti direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut beliau, usaha perlu dilakukan oleh setiap parti untuk menggalakkan seramai mungkin pengundi keluar pada sebelah petang.
“Andai peratus keluar mengundi hanya 30 peratus, ia boleh menjadikan kerajaan Johor minoriti. 70 peratus tidak hadir kerana bimbang Covid-19 atau tanda protes,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, di sini.
Tambah Mohd. Shafie, keadaan tersebut tidak mustahil akan menggugat proses demokrasi kerana rakyat telah menolaknya.
“Diharapkan selepas ini tiada lagi PRN kerana menyusahkan banyak rakyat serta kos yang tinggi,” katanya. – UTUSAN