Penuntut kolej tak mengaku memandu mabuk hingga sebabkan kematian - Utusan Malaysia

Penuntut kolej tak mengaku memandu mabuk hingga sebabkan kematian

TERTUDUH, Lo Yen Hue dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu mabuk hingga melanggar seorang subkontraktor hingga maut Sabtu lalu. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian salah seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Lo Yen Hue, 24, yang merupakan pemandu kereta Toyota Sienta telah memandu kenderaan terbabit dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian kepada Yap Kwee Chee, 74, kira-kira pukul 3.15 pagi, 12 Mac lalu di Jalan Kuching di sini.

Dia didakwa memandu ketika keadaan paras alkohol dalam badan sebanyak 184 miligram (mg) melebihi tahap yang dibenarkan iaitu 50mg sehingga tidak mampu mengawal kenderaannya.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau maksimum 15 tahun dan denda minimum RM50,000 atau tidak melebihi RM100,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.

Pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin namun peguam bela, K.A. Ramu memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Amanina Mohamad Anuar selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 27 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Mac lalu, media melaporkan seorang pekerja sub kontraktor DBKL yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Kuching berhampiran bulatan Kepong, dekat sini.

Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya