Penternak rugi RM50,000 kambing mati terbakar

Penternak rugi RM50,000 kambing mati dalam kebakaran

BADRISHAH Zamzuri melihat kambing yang ditempah untuk ibadah aqiqah yang terselamat dalam kebakaran kandang di Taman Temara, Ipoh semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penternak berputih mata apabila 35 ekor kambing ternakannya mati dalam kejadian kebakaran kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara di sini, semalam.

Kebakaran sekitar pukul 11.30 malam itu mengakibatkan pesara polis, Badrishah Zamzuri, 60, terpaksa menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000.

Menurut Badrishah, dia ke kandang haiwan ternakan yang terletak berhampiran rumahnya itu setelah dihubungi jiran pada kira-kira pukul 11.45 malam.

Katanya, dia cuba untuk masuk ke dalam kandang bagi memadamkan kebakaran namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Saya cuba masuk tapi tidak boleh. Jadi saya semburkan air dari getah paip di luar untuk memadam api. Jika saya sampai awal, mungkin banyak lagi kambing yang boleh diselamatkan. 

“Dalam kandang ini, ada lebih 50 ekor kambing di mana kira-kira 35 ekor mati termasuk lima daripadanya rentung. Mujur bomba tiba awal bagi memadam kebakaran daripada merebak ke bahagian lain yang juga menempatkan reban ayam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, dia baru sahaja membeli tiga ekor kambing baka Senen berusia tiga bulan berharga RM1,600 bagi tujuan pembiakan namun malangnya haiwan berkenaan turut mati dalam kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana enam ekor kambing yang ditempah untuk tujuan ibadah akikah terselamat selepas pasukan bomba cepat tiba ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Kejadian ini bukan disebabkan perbuatan khianat, malah tiada kesan pecah masuk pun dengan semua pintu pagar masih berkunci ketika diperiksa.

“Saya percaya kebakaran disebabkan unggun api yang dipasang di dalam kandang bagi memberi haba kepada haiwan itu. Sejak tujuh tahun lalu, memang saya akan pasang unggun api, tidak sangka pula kali ini berlaku kejadian ini,” katanya yang memulakan projek ternakan kambing sejak 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN