MELAKA: Seorang peniaga pasar borong tidak sempat membuka kedai sayurnya kerana maut dalam nahas di Jalan Telok Mas-Alai di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Farihin Mohd. Lazan, 30, yang mempunyai dua anak, masing-masing berusia sembilan bulan dan empat tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira.
Katanya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego LC dalam perjalanan dari arah Bukit Tembakau ke Pasar Borong Melaka di Batu Berendam.
“Setiba di lokasi motosikal mangsa dirempuh sebuah Proton Wira yang hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan. Akibat kemalangan itu, mangsa terpelanting dan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di kepala serta dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kereta terlibat juga terbabas sehingga memasuki kawasan Balai Raya Telok Mas sebelum terbalik.
“Pemandu kereta berusia 33 tahun bagaimanapun hanya mengalami luka-luka di mata dan kaki. Sampel darah pemandu juga telah diambil di Hospital Melaka yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk ujian Covid-19 dan disahkan positif.
Proses bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kluang, Johor dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










