JEMPOL: Pengumuman kerajaan untuk fasa peralihan endemik sangat memberikan kelegaan kepada pengusaha kedai gunting rambut yang menyifatkan ia sebagai jaminan untuk tiada lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas ini.
Salah seorang daripada mereka, Aimi Amirah Abd. Rahman, 23, berkata, pengusaha perkhidmatan menggunting rambut dan salun merupakan antara aktiviti ekonomi yang paling teruk terjejas setiap kali PKP dilaksanakan sebelum ini.
“Saya sangat bersyukur dengan berita baik yang diberitahu oleh kerajaan, kini, saya lega dapat meneruskan perniagaan tanpa bimbang akan berlaku lagi sekatan pergerakan dan aktiviti ekonomi.
“Bagaimanapun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap akan jadi keutamaan saya dan berharap orang ramai termasuk pelanggan tetap mematuhinya walaupun negara telah beralih ke fasa endemik kelak,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Batu Kikir di sini semalam.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April ini.
Aimi Amirah yang merupakan seorang graduan lepasan Diploma Dandanan Rambut dari Kolej Komuniti Kota Melaka dalam pada itu memberitahu, sejak membuka perkhidmatan menggunting rambut dan salun pada Julai 2020, sambutan yang diterimanya daripada pelanggan sangat baik.
“Walaupun ketika itu, negara masih berdepan dengan wabak Covid-19 saya tetap nekad ingin membuka kedai ini kerana ia adalah impian saya. Walaupun berdepan kesukaran selepas itu kerana PKP saya tetap teruskan juga.
“Selama tiga bulan kedai gunting rambut saya terpaksa ditutup bagaimanapun saya telah bersedia dan sepanjang penutupan kedai, saya jalankan perniagaan lain seperti menjual alat kosmetik secara dalam talian,” katanya. UTUSAN










