KUALA SELANGOR: Seorang pengusaha butik pengantin pasrah menghadapi ujian hidup yang datang bertimpa-timpa kerana bukan sahaja rumah sewanya dimasuki pencuri pada 13 Mac lalu, malah kali ini kediamannya musnah dalam kebakaran, kelmarin.
Menurut Marina Mohd. Zainol, 43, beliau berpindah dari rumah asal ke kediaman tersebut di Kampung Tambak Jawa, Jeram di sini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.
“Kes kecurian tersebut berlaku ketika saya berada di Johor Bahru atas urusan peribadi sebelum dihubungi oleh jiran yang memaklumkan melihat barang dikumpul di halaman rumah.
“Pencuri itu mengambil kamera digital lensa tunggal rifleks (DSLR), mesin kimpalan, gas memasak, kamera webcam, televisyen dan mesin pemotong rumput. Bagaimanapun, tiada peralatan pengantin yang diambil,” katanya ketika menerima lawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim di sini petang semalam.
Jelas Marina, selepas kejadian curi itu, dia dan suami, Mohd Nizam Samsuri, 42, merancang untuk menjual barangan pelamin bagi mendapatkan wang sebanyak RM6,000.
Katanya, suaminya terlantar kerana menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima, dan disebabkan itu mereka mahu menjual semua barangan tersebut dengan harapan duit berkenaan dapat digunakan bagi pembedahan memasang tapak fistula untuk rawatan dialisis suaminya.
“Barangan itu semuanya telah dibeli oleh pembeli dan menunggu masa untuk dipos. Tetapi, semuanya sudah hangus terbakar,” katanya.
Marina berkata, buat masa ini, dia sekeluarga akan menumpang di rumah ahli keluarga di Larkin, Johor buat sementara waktu.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Marina di talian 017-6121509.
Sementara itu, Jahaya berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang dialami Marina dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan berlakunya perbuatan khianat di rumah terbabit. – UTUSAN










